SINOPSIS AKU REDHA & ITU AKU...

ITU AKU
“ITU AKU! Redah sahaja apa yang mendatang dengan berani!”

"Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh menjahanamkan diri sendiri. Perkara utama harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan kenyataan"

“Kita memerlukan orang lain untuk berjaya kerana kita memerlukan sokongan mereka, kata-kata semangat dari mereka, suntikan inspirasi dari pengorbanan mereka demi kejayaan kita.”
         
Suatu pendedahan eksklusif dari kisah sebenar seorang bekas mat rempit sejati. Tentang kisah suka duka seorang mat rempit sebelum dia bergelar pelumba Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dan yang paling penting, kebanggaannya kerana layak berdiri sama megah dengan pelumba-pelumba terkenal seperti Velentino Rossi, Ben Spies, Casey Stoner dan Danny Pedrosa.
          Latar cerita ini diangkat daripada isu rempit yang diolah bersama penggunaan bahasa pertuturan mat rempit itu sendiri, memberi sedikit kelebihan kepada ITU AKU untuk dekat di hati para pembaca dari semua golongan.
          Selami dan fahami jiwa seorang remaja lelaki yang bernama Azrul Azizi atau ROY yang menghadapi konflik jiwa remaja akibat dari pelbagai tekanan dan dugaan yang melanda dalam hidupnya. Penceraian ibubapanya, pengaruh kawan-kawan, kematian ibunya, kekurangan perhatian dan kasih sayang dari keluarganya sendiri; semuanya ini menjadikan Roy seorang pemberontak dalam diam sehingga sengaja menjebakkan dirinya ke dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.
          Apa bagusnya menjadi mat rempit? Apa pengajaran dan pelajaran yang boleh diambil ikhtibar dari pengalaman merempit? Bagaimana ROY dapat mengubah persepsi masyarakat dari seorang mat rempit yang hina sehingga boleh mengharumkan nama Malaysia di mata dunia dalam sukan permotoran?
       Benarkah untuk berjaya dalam hidup, kita perlu bersedia untuk berkorban walau yang terkorban itu adalah sesuatu yang kita sayangi? Temui jawapan dan pengajarannya dalam kisah ROY ini…
~ AIDA ANGGERIK ~
 ----------------------------------------------

AKU REDHA
Tiap apa yang kita miliki.. Harus kita sayangi.. tetapi..
Tiap apa yang kita sayangi… Tak semestinya dapat kita miliki….”

“Setiap ciptaan Allah mempunyai rahsia yang tersendiri..
Samalah juga dengan kehidupan kita.. Setiap yang berlaku bukanlah perkara sia-sia..
Sebaliknya mempunyai hikmah yang tersendiri..”
“Fa biai yi aala irabbi kuma tukaz ziban..” ar-Rahman..

           
NUR ARISSA wanita tabah dan cekal dalam mengharungi liku-liku perjalanan hidupnya. Ikuti kisah suka duka wanita yang mempunyai ‘split-personality’ dari zaman remajanya ini sehingga akhirnya dia menjadi pakar motivasi yang terkenal dan disegani.
Apakah yang memotivasikan dirinya sehingga dia menjadi sebegitu tabah dan kuat semangat? Apakah rahsia keREDHAan Nur Arissa kepada Tuhannya sehingga dia menjadi insan yang cemerlang walau pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa dilaluinya?
Fasa-fasa kehidupan yang dilalui oleh Nur Arissa dari seorang gadis yang menghadapi konflik jiwa dengan pelbagai tekanan, isteri yang teraniaya dan didera dari segi mental dan fizikal serta janda yang selalu dicemuh dan difitnah, semuanya dapat dijadikan ikhtibar dalam mematangkan diri kita dalam kehidupan.
Selami hati dan pergolakan jiwa Nur Arissa. Walau terdapat banyak persoalan berat dalam hidupnya, cerita ini diolah dengan bahasa yang santai agar para pembaca dapat menghayati ceritanya  dengan mudah dan tidak mudah merasa bosan. Insyaallah…
    
~ AIDA ANGGERIK ~

No comments: