Kerana FACEBOOK (FB)..

Salam… kengkawan semua.. !

Saya terpanggil untuk meluah rasa dan berbicara tentang penggunaan FACEBOOK atau FB di dalam ruangan saya ini. Ianya sekadar berkongsi pendapat dengan semua dan harap-harap kengkawan yang lain sudi juga berkongsi pendapat dengan saya di sini.

Fenomena baru yang melanda dan menjadi kegilaan masyarakat kita sekarang ini adalah melayari laman web social yang popular iaitu FB! Semua golongan tidak terkecuali mempunyai akaun ataupun pernah melayari FB ini. Dari kanak-kanak seusia 5 tahun sehinggalah kepada golongan warga emas.

Pendek kata, kalau seseorang itu tidak mempunyai akaun FB mahupun pernah mendengar tentang FB.. memang sahlah orang itu dikatakan ketinggalan zaman ataupun anti social.
Bagus sangat ke FB ni?? Mungkin bagi sesetengah pihak, ianya banyak memberi manfaat namun jika salah penggunaannya, mengundang musibah yang tidak disangka. Malah, sudah terjadipun kejadian hampir membunuh sahabat sendiri angkara FB ini.! Melalui FB juga, rumah-tangga berantakan, suami-isteri bergaduh dan bercerai-berai, putusnya tali persaudaraan di dalam keluarga, adik-beradik berpatah-arang dan persahabatan terputus. Itu belum lagi putus cinta di kalangan pasangan kekasih ataupun yang sudah bertunang.

Bagaimana pula dengan produktiviti kerja? Peruntukan masa yang berharga dibazirkan dan nilai moral serta etika-etika kemanusiaan sejagat?

Huii.. memang banyak buruk dari baiknya! ....

Saya sendiri “mengenali” FB ini sebenarnya tanpa dirancang. Di saat rakan-rakan sibuk “gila” dengan FB, saya masih setia dengan sms, e-mail dan kalau yang paling canggih yang saya rasakan masa itu adalah Yahoo Messenger atau YM.

Mungkin kerana teruja bila mendapat tahu anak sendiri yang berusia 7 tahun pun sudah mempunyai akaun FB, maka saya tidak membuang masa lagi.. Bermula dari detik itu, dari cuba-cuba menjadi "gian" pula! Apatah lagi, rakan-rakan sekolah yang sudah lebih dari 20 tahun tidak berjumpa pun boleh bertemu! Memang teruja..Punyalah lama hilang khabar berita.. akhirnya bertemu juga di laman FB! Seronok mendapat tahu khabar tentang mereka seperti sudah berkahwin ke belum, kerja apa sekarang, anak berapa orang, tinggal di mana dan macam-macam lagi.

Melalui FB juga.. saya bebas meluahkan apa yang saya rasa samada marah, bosan, geram, gembira, sedih dan macam-macam lagi. Lebih menyeronokkan, rakan-rakan FB sentiasa memberi response dari setiap apa yang kita luahkan pada status FB kita. Terasa diri kita rupanya tidak keseorangan dan masih ada lagi teman-teman yang sudi berkongsi rasa..!

Namun, saya jadi tidak faham mengapa melalui FB juga, ada di antara rakan-rakan saya yang putus persahabatan, adik-beradik berpatah-arang, hubungan persaudaraan renggang, suami-isteri bertengkar dan ada yang bercerai-berai. Itu belum masuk lagi kes pasangan kekasih putus cinta atau putus tunang.
Kalau diikutkan pendapat saya yang “lurus dan bendul” ini, bukankah melalui FB ini kita dapat mengeratkan tali-siratulrahim sesama kita dan menambahkan lagi kenalan dari merata tempat? Berdasarkan pemerhatian saya, akhirnya saya ketemu juga jawapan dari persoalan-persoalan di atas..

Sebenarnya, walau apa sekalipun, KEMATANGAN berfikir itu penting bagi setiap individu yang menggunakan media seperti FB ini dalam menilai kebaikan dan keburukan setiap aktiviti yang berlaku di alam maya.


Apa yang penting semua pihak perlu berhati-hati, cermat dan bertanggung-jawab ke atas segala maklumat yang ingin disebarkan serta dikongsi agar ia tidak membawa padah kepada diri dan orang lain.

Sentiasa berfikiran POSITIF, rasional dan tidak terlalu terbawa-bawa dengan kritikan mahupun pendapat yang diterima sehingga bertindak di luar batas.


Cuba kengkawan fikir, apakah respon atau komen yang diterima bila seorang wanita berstatus isteri orang menulis begini di dalam ‘post wall’ nya : "Malam ni.. sunyi & keseorangan. Hubby out-station! Huhuhu…”

Bukankah pengakuan begini mengundang respon nakal dari teman-teman FB yang lain terutama golongan lelaki. Lebih ‘horror’ lagi komen dari bekas kekasih atau tunang tak jadi! Mungkin respon yang diterima lebih kurang begini: “Sunyi ekk?.. Siannn diaa…! Nak saya temankan?? Hehhehe…” atau.. “ Siannyerr…..! Tak per.. abang ada… !!….  “

Walaupun niat hanya sekadar menyampaikan apa yang dirasa di waktu itu dan komen yang diterima hanya mungkin sekadar bergurau atau sekadar menceriakan teman yang kesunyian, namun dari respon-respon sebeginilah yang akan berlarutan kerana seronok “dilayan” begitu. Tidak mustahil jika sama-sama melayan, perasaan “rindu” ingin “bertemu” di dalam FB pasti timbul. Bila FB menjadi penawar rindu… kita boleh agak apa yang terjadi pada si isteri itu. Sudahnya, suami terabai dan akan berlaku pertengkaran demi pertengkaran..

Sama juga halnya jika berlaku pada sang suami. Sibuk “berFB” di waktu malam sehingga terlupa masa yang berharga yang sepatutnya dimanafaatkan bersama isteri dan anak-anak terbuang begitu saja. Bila si isteri terasa terabai dan kurang mendapat perhatian, maka timbullah syak wasangka pada si isteri.

Lebih parah lagi, si suami tidak mahu menerima undangan “add” si isteri sebagai teman FBnya kerana takut si isteri tahu segala “aktivitinya” yang berlaku di dalam FB! Bagi isteri yang cerdik, dia boleh mengintip gerak-geri suaminya di dalam FB melalui temannya yang merupakan teman FB suaminya juga. Pertengkaran pasti berlaku bila si isteri tidak boleh menerima gurauan nakal dari teman-teman FB (semestinya perempuan!) suaminya. Isteri mana yang tidak cemburu jika membaca komen-komen nakal sebegini kepada suaminya : “muahhhh..!!”, “miss u laa..!”, “hari ni.. malam Jumaatlah sayang..!!”

Dek kerana mempertahankan segala tuduhan dan keegoaan masing-masing, pertengkaran yang hanya kecil dan remeh-temeh sahaja merebak hingga membuat keputusan bercerai! Jadi… di manakah kesudahannya??

Begitu juga yang berlaku kepada persengkataan antara adik-beradik, saudara-mara, sahabat mahupun kekasih. Meluah rasa ketidakpuasan hati pada seseorang dan berniat ingin menegur kesalahan individu di dalam FB adalah tidak salah. Namun, tidak perlulah sehingga menyebut nama atau siapa individu itu. Yang penting, apa yang terbuku di hati sudah terluah. Jika masih tidak puas hati dan ingin individu itu tahu kebenarannya, banyak lagi cara lain boleh disampaikan. SMS sahaja ataupun “private message” kepada individu itu. Lebih mudah lagi, berjumpa dan berbincang empat mata. Bukankah lebih mudah?

Mengapa perlu berbalas-balas kutukan malah ada yang sanggup memaki dan menghina sesama sendiri di ruangan yang terbuka di mana “orang luar” mengambil kesempatan mencurah minyak di atas bara? Komen dari teman-teman FB bukan semuanya boleh membantu malah memburukkan lagi keadaan. Dalam keadaan marah, mereka jadi lupa siapa dan apa ikatan mereka sebelum ini. Ternyata begitu mudah, FB memainkan peranan dalam merenggangkan hubungan siratulrahim di antara mereka..

Kesimpulannya, terpulang kepada kebijaksanaan dan niat kita mengendalikannya. Jika berniat baik, baiklah jadinya. Jika buruk, buruklah padahnya. Semoga kawan-kawan di luar sana tidak terlalu “taksub” dengan FB ini. Bagi pemilik handphone canggih yang boleh berhubung terus menggunakan FB ini, jangan jadikan ia sebagai saluran penghantar laporan aktiviti harian di waktu dan tempat yang tidak sesuai. Sehinggakan ingin berjumpa Boss di pejabatpun, sempat melaporkan ke dalam “post wall”; “dlm lift.. otw jumpa Boss..!! hehehhe..”.

Begitu sekali penangan FB! Bukankah ini dikatakan “ketagih” atau “gian”? Jika ketagihan ini berlarutan, sudah pastinya ianya menyebabkan produktiviti kerja menurun dan pendapatan bulanan yang sepatutnya diperoleh daripada bekerja disia-siakan dengan aktiviti melalaikan setahu saya adalah tidak berkat. Wallahualam.. kerana saya bukanlah orangnya yang layak memberi hukum berkat atau tidak rezeki seseorang itu.

Jadi.. kengkawan sekelian yang kebanyakannya pengguna FB juga…., apa pendapat anda tentang penggunaan FB ini? Marilah kita sama-sama berkongsi pendapat dan memeriahkan forum kita ini. Mungkin ada di antara pendapat serta pandangan yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran.

Semoga FB ini tidak akan merenggangkan tali siratulrahim di antara kita. Insyaallah…

No comments: